Sunday, November 18, 2012

Perbezaan antara 'InsyaAllah' dgn 'IN SYAA ALLAH'


بسم الله الرحمن الرحيم 

 Assalamualaikum


Saudara dan saudari yang dirahmati Allah سبحانه وتعالى, seringkali kita menyebut Insya-Allah dalam kehidupan harian kita malah ianya sudah pun dilagukan seperti yang dinyanyikan oleh Maher Zain.
Menyebut Insya-Allah memang dituntut oleh Islam terutama apabila kita ingin atau berhasrat melakukan sesuatu yang belum pasti berlaku melainkan dengan izin Allah. Allah berfirman dalam Al-Quran, ayat 23-24 dalam surah Al-Kahfi  :
وَلاَ تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَداً {23} إِلاَّ أَن يَشَاءَ اللَّهُ
Maksudnya "Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti". Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah".
Para mufassirin berkata, tatkala orang Yahudi bertanyakan Nabi -صلى الله عليه وآله وسلم - tentang roh, Ashabul Kahfi dan Dzul Qarnain, Nabi - صلى الله عليه وآله وسلم - menjawab kepada mereka "Saya akan beritahu kamu semua esok", Nabi -صلى الله عليه وآله وسلم - tidak menyebut Insya-Allah. Lalu wahyu tertahan daripada turun selama 15 hari lamanya . Kemudian Allah menurunkan ayat ini menyuruh baginda - صلى الله عليه وآله وسلم - dengan menambah istisnaa (pengecualian) dengan menggunakan "dengan kehendak Allah". Jadi, jika seseorang berkata: aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti, maka sebutlah Insya-Allah. [rujukan: فتح القدير الجامع بين فني الرواية والدراي & تفسير القرطبي]
Daripada ayat di atas jelas menunjukkan kepentingan penggunaan Insya Allah dalam pembicaraan seorang muslim pada setiap masa. 
Fokus utama yang saya ingin bicarakan di sini ialah bagaimana untuk menulis "Insya Allah" dengan cara yang betul dalam tulisan Arab. Ini kerana, ada yang menulisnya sebagai إنشاء الله, dan ada yang menulis dengan إن شاء الله. Jadi, mana satukah yang tepat ejaannya?
Dalam kitab شذور الذهب karangan Ibnu Hashim ada menyebutkan bahawa makna kata kerja إنشاء  yang menjadi asas penulisan إنشاء الله ialah "mengadakan/mewujudkan/mencipta" sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Waqi'ah, ayat 35:
 إِنَّـآ أَنشَأنَهُنَّ إِنشَـآءً 
Maksudnya  "Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa".
Jadi, jika kita menulis Insya-Allah dalam tulisan Arab sebagai إنشاء الله,maka ia memberi maksud "menjadikan Allah", - Maha Suci Allah daripada bersifat demikian - dan ini adalah salah sama sekali, kerana Allah tiada makhluk yang menjadikanNya. Ia bersifat Azali, Qidam, Baqa'.
Jika demikian, maka tulislah Insya-Allah itu dengan إن شاء الله,bukannya إنشاء الله .

Lafaz إن شاء الله  memberi pengertian kemahuan Allah. Dalam kitab Mu'jam Lisaan al-Arab (معجم لسان العرب), makna kata kerja شــاء ialah "mahu/kehendak". Jadi, apabila kita menulis إن شاء الله, seolah-olah kita berkata "dengan kehendak/keinginan Allah kami berbuat sekian..sekian.." Firman Allah Taala dalam surah al-Insan, ayat 30:
 وَمَا تَـشَـآءُونَ إِلا أَنْ يَـشَـآءَ اللهُ 
Mafhumnya: "Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah..."

Kesimpulannya, terdapat perbezaan yang ketara daripada segi makna antara perkataan إن شاء الله  dan إنشاء الله . Oleh itu, hendaklah kita melazimi penulisan Insya-Allah dalam bahasa Arab itu dengan ejaan إن شاء الله . Kalimah إن شاء الله bermaksud "jika Allah kehendaki" atau biasa diterjemahkan sebagai "jika Allah izinkan". Terjemahan secara terperincinya ialah:
إن  = Jika
شاء  = mahu/kehendaki/ingin - (ini adalah kata kerja)
الله = Allah 
Sekian. Mudah-mudahan bermanfaat.
والسلام 

The Beauty of Islam.
Lets Mengislahkan Diri =)
#Subhanallah, Alhamdulillah, Laillahaillallah, Allahukbar, Astaghfirullahal`azim ♥

Sumber: BLOG CIK DLA

update:
pandangan ustaz azhar idrus..


Wallahualam bissawab.. =)

Update (22/11/2012):

Dari twitter shamril salleh (sham kamikaze)



Wallahualam  bissawab... Sesungguhnya yang buruk datang dari saya dan yang baik dari Allah s.w.t... Maafkan atas kekhilafan yang dtg dari saya...  =)  


No comments: