Saturday, May 18, 2013

Bagaimana Membuah Sabar?

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum..

Sabar; satu perasaan dan tindakan yang tidak dapat didefinasikan.
Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan sabar dapat bertahan dalam diri?
Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuahsabar.
Meminjam peribahasa "lain lubuk, lain ikan" disamakan dengan "lain orang, lain ujiannya".
Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya. Lupakah kita pada firmannya?
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (Surah Al-Baqarah, 286)
Lihat! Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Dia tidak akan timpakan kita dengan sesuatu yang kita tak mampu. Dia juga tidak akan jadikan suatu ujian itu sia-sia tanpa ada hikmah disebaliknya.

Ujian Rasulullah S.A.W.

Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian yang menimpa Baginda sangat hebat.
Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya, datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, Siti Khadijah. Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi. Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada hari ini, bermacam-macam ujiannya. Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan, dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan yang baginda hadapi.
Tapi ujian itu tidak pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.
Cuba kita renungkan kembali di zaman baginda s.a.w dahulu tiada handphone, tiada Facebook, tiada Skype dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat, Islam sampai kepada kita hari ini.
Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasul. Mengapa pula begitu? Baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap.
Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan Baginda. Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?

Bicara tentang iman

Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dikuatkan iman untuk kita hadapinya, bukan meminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.
Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepada-Nya. Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah. Tanya diri kita : Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya?
InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yang lain. Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka.
"Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya, bagaimana pula?"
Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin tanpa kita sedari ada hak-hak dengan Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia.
Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?
Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya.

Jadilah hamba yang bersyukur

Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah  masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.
Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap menunaikan solat dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.
Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda beribadah malam sehingga kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang, "Aku ingin jadi hamba yang bersyukur."
Salam mujahadah membuah sabar.

1 comment:

Unknown said...

artikel perkongsian yang baik..sama2 bersyukur dan bermotivasi ....